CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 12 Januari 2009

Siapakah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah?

Mafhum Jamaah Dalam Neraca As-Sunnah

Pendahuluan

Dewasa ini, fenomena menuduh sesat sesama muslim berlaku secara pesat, di tangan mereka yang melanggar etika dalam berselisih pendapat. Di sebalik kewujudan perselisihan pendapat dalam kalangan umat Islam, timbul suatu budaya mengeluarkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan kerangka paradigma mereka dalam memahami nas-nas Islam, daripada "Al-Jamaah" yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w., walaupun pada hakikatnya, umat Islam yang bercanggah dengan kerangka paradigma mereka, yang mereka keluarkan daripada "Al-Jamaah" adalah majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom).

Kelompok manusia yang mengeluarkan selain daripada para muqollid mereka (walaupun mereka mengaku sebagai mujtahid/orang yang berijtihad) ini bermula dengan membid'ahkan (tabdi') kebanyakkan ijtihad-ijtihad ulama' yang tidak sehaluan dengan mereka, bahkan ada yang sampai tahap menuduh syirik sesetengah amalan umat Islam yang pada prasangka (bahkan suuk zhon) mereka terhadap umat Islam itu sendiri. Akhirnya, mereka membuat kesimpulan, bahawa, merekalah Al-Jamaah, atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah sedangkan selain daripada mereka yang tidak sehaluan dengan mereka, yang merupakan majoriti umat Islam (iaitu dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah) dikeluarkan daripada kelompok Ahlus-Sunnah wal Jamaah, padahal sebelum kelahiran mereka (yang muncul pada awalnya setelah kurun ke-6 hijrah), majoriti umat Islamlah (Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah) sebagai ahlus-sunnah wal jamaah.

Ini suatu gejala yang sungguh tragis dalam umat Islam, bahkan para ulama' ahlus-sunnah wal jamaah yang sebenar dari kalangan majoriti umat Islam amat prihatin dengan golongan minoriti yang terperangkap dalam waham sendiri dengan menyangka hanya merekalah ahlus-sunnah wal jamaah. Para ulama' ahlus sunnah wal jamaah daripada majoriti umat Islam yang merupakan para ulama' ahlus-sunnah wal jamaah yang sebenar sentiasa prihatin dan berusaha untuk mengejutkan kelompok tersebut daripada lamunan mimpi waham yang panjang, dalam paradigma tasyaddud (ekstimisme) mereka terhadap institusi ilmu Islam.

Fenomena Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam

Perpecahan dalam umat Islam sememangnya sudah dijangkakan oleh Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda berkenaan dengan hal ini:

"Sesungguhnya sebelum kamu, iaitu sebahagian daripada ahlul kitab telahpun berpecah kepada tujuh puluh dua golongan. Sesungguhnya, umat ini (umat Rasulullah s.a.w.) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan…" (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadith riwayat Ibn Majah)


Sabda Nabi s.a.w. lagi dalam menggambarkan tentang perpecahan umat Islam, namun dalam bentuk yang berbeza:

تفترق أمتي على بضع وسبعين فرقة كلها في الجنة إلا الزنادقة

Umatku akan berpecah kepada lebih tujuh puluh kelompok yang mana seluruhnya akan masuk syurga kecuali golongan zindiq. (Hadith riwayat Ad-Dailami dalam Musnad Al-Firdaus).


Hal ini jelas menunjukkan bahawa, akan berlaku perpecahan dalam umat Islam. Namun, ketika berlaku perpecahan dan perselisihan, kepada siapakah harus untuk kita bersama dan berpegang?

Tiada ulasan: